SKUAD bola sepak pantai kebangsaan sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan peringkat kumpulan Kejuaraan Piala Asia Bola Sepak Pantai AFC 2023 di Pattaya bertemu salah satu gergasi Asia, Iran.

Pengendali negara, Mohd Saiful Md Noor mahu para pemainnya memberikan aksi terbaik meskipun diundi dalam Kumpulan B yang boleh dianggap sukar kerana turut diisi naib juara edisi 2019, Emiriah Arab Bersatu selain Uzbekistan.

Saiful juga menjelaskan pasukan kebangsaan pada kali ini merangkumi gabungan pemain lama dan baharu serta mahu memperbaiki kedudukan layak ke peringkat suku akhir pada edisi 2019 yang lalu.

Pengendali skuad bola sepak pantai kebangsaan, Mohd Saiful Md Noor

“Kami berlatih selama tiga minggu sebelum ke Pattaya dan akan lakukan yang terbaik pada kejohanan kali ini. Pasukan kali ini merangkumi 60 peratus pemain lama dan 40 peratus pemain baharu dan saya menganggap Iran dan UAE adalah pasukan yang kuat dalam kumpulan ini,” katanya ketika sesi sidang media pra perlawanan.

Menurut rekod ini adalah kali ketiga skuad bola sepak pantai berjaya layak ke Piala Asia selepas melakukannya pada 2017 dan 2019 dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada edisi 2019 di venue yang sama, Jomtien Beach Arena, Pattaya.

Selepas aksi pembukaan menentang Iran, dua lagi perlawanan bakal menemukan Malaysia dengan UAE pada 18 Mac 2023 sebelum bertemu Uzbekistan pada 21 Mac 2023 dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Skuad bola sepak pantai kebangsaan menjalani latihan di Jomtien Beach Arena, Pattaya

Selain Malaysia, dua lagi pasukan Asia Tenggara, tuan rumah Thailand dan Indonesia bakal bersaing dalam kejuaraan dwi tahunan ini dengan dua finalis akan layak ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai Fifa di Emiriah Arab Bersatu pada November 2023.

📸 AFC