PEMAIN golf profesional negara, Ervin Chang berasa bagaikan seorang atlet bertaraf bintang selepas CIMB Group Holdings Bhd tampil menjadi menajanya, meneruskan kerjaya dalam sukan ini.
Menurutnya, ia menjadi tonik terbaik bagi menghadapi saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan bermula Khamis ini (15 hingga 18 Februari).
Melihatkan nama atlet hebat seperti Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Datuk Nicol David (skuasy) menerima penjaan daripada CIMB sebelum ini, dia berasa bagaikan satu rahmat terpilih berada sebaris nama bintang besar yang mengharumkan nama Malaysia sehingga kini.
“Menjadi sebahagian daripada keluarga CIMB menjadi sesuatu yang mengujakan, mereka hadir untuk memberikan sokongan kepada saya. Dalam masa sama, saya cuba memberikan penampilan berbeza ketika membawa nama mereka.
“Apa pun saya gembira dengan kerjasama ini,” katanya, pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad.
Ervin akan beraksi buat kali pertama sebagai ahli Jelajah Asia, mahu menampilkan persembahan terbaik selepas bekerja keras mempersiapkan diri ketika pra musim.
“Saya akan fokus sebaik mungkin dalam kejohanan ini, cuba untuk belajar menyesuaikan diri. Walaupun sebelum ini saya ‘berehat’ seketika bagi sambutan Tahun Baru Cina.
“Sejak dua minggu lalu saya melakukan persediaan untuk kejohanan ini. Saya bakal berdepan dengan pemain yang mempunyai lebih banyak pengalaman,” katanya, yang meraih Order of Merit Jelajah Toyota 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan) CIMB Group Effendy Shahul Hamid, berbesar hati apabila CIMB dapat bekerjasama dengan salah seorang atlet berstatus juara.
“Ketika dia cuba untuk membawa kariernya ke peringkat lebih tinggi, kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan salah seorang lagi atlet berkelas dunia.
“Ervin sekarang ini sedang berusaha untuk membawa nama Malaysia melonjak lebih tinggi dalam sukan golf. Kehadirannya bersama kami ibarat sireh pulang ke gagang kerana sebelum ini (2010) dia adalah atlet remaja di bawah program pembangunan CIMB,” katanya.
Terbuka Malaysia kembali diadakan selepas empat tahun dengan kali terakhir dimenangi oleh Trevor Simsby dari Amerika Syarikat ketika ia diadakan di Kota Permai Golf & Country Club.