SKUAD boling padang negara menggalas misi besar untuk mempertahankan status sebagai jaguh Asia apabila bakal beraksi pada Kejohanan Boling Padang Asia 2026 edisi ke-17 dan bawah 25 tahun edisi ke-15 di New Delhi, India dari 5 hingga 12 April ini.

Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) optimis barisan atlet yang dipilih mampu mengulangi kejayaan lalu sekali gus mengekalkan gelaran juara keseluruhan.

Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, sasaran utama skuad negara adalah untuk terus mendominasi saingan di peringkat Asia dan memastikan status ‘Jaguh Asia’ kekal menjadi milik Malaysia.

“Dengan barisan atlet yang telah terpilih, PLBM optimis dengan meletakkan sasaran sebagai juara keseluruhan bagi edisi tahun ini sekali gus mengekalkan takhta ‘Jaguh Asia’ yang diraih skuad negara sejak edisi 2023,” menurut kenyataan tersebut.

Kejohanan berkenaan bakal menghimpunkan beberapa kuasa utama Asia termasuk India, Hong Kong China, Filipina, Jepun, Sri Lanka dan Singapura, sekali gus menjanjikan persaingan sengit.

Malaysia akan mempertaruhkan seramai 14 atlet merangkumi tujuh lelaki dan tujuh wanita dalam kategori senior serta bawah 25 tahun bagi membawa cabaran negara.

Menurut PLBM, kejohanan ini turut menjadi platform penting untuk menilai tahap kesiapsiagaan atlet sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar termasuk Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Selain itu, saingan tersebut juga memberi peluang kepada pemain untuk mengumpul mata ranking dunia dalam usaha meningkatkan kedudukan di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan pada edisi 2025 di Clark, Filipina selepas meraih lima pingat emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara kuasa utama boling padang Asia.