KUALA Lumpur City FC dipaksa bekerja keras oleh Imigresen FC sebelum memenangi perlawanan pusingan kedua Piala FA 2-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pengendali KL City, Bojan Hodak melakukan banyak pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada pemain yang jarang diturunkan untuk beraksi.

Imigresen FC pula menurunkan barisan terbaik mereka dan dilihat berjaya memberikan cabaran kepada finalis Piala AFC 2022 itu dengan perlawanan yang seimbang pada babak pertama.

 

Namun, T. Saravanan berjaya menjaringkan gol pemisah buat Kuala Lumpur City pada penghujung babak pertama dengan satu voli yang menarik menewaskan penjaga gawang Imigresen FC, Ahmad Solehin Mamat.

Bersambung babak kedua, Bojan melakukan lagi beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain yang lebih berpengalaman untuk membantu mendapatkan gol kedua sekaligus kedudukan yang lebih selesa buat KL City.

Kekurangan perlawanan kompetitif dilihat menjadi faktor utama yang memisahkan Imigresen FC untuk mencabar KL City dan dapat dilihat dari kesilapan individu yang sering dilakukan terutama pada babak yang kedua.

Kesilapan pemain pertahanan Imigresen FC yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menemui Romel Morales yang tenang menyumbat gol kedua KL City ketika permainan berbaki tujuh minit.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan KL City berjaya layak ke peringkat suku akhir untuk bertemu sama ada Sabah atau Kelantan United manakala Imigresen FC tersingkir dari saingan Piala FA musim ini.