REKOD tanpa kalah Sri Pahang FC dalam Liga Super musim ini akhirnya lebur apabila tewas kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 dalam aksi menarik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah dengan tuan rumah, JDT lebih banyak menguasai permainan terutama pada babak kedua manakala skuad Tok Gajah lebih banyak bertahan dan sesekali melakukan percubaan menerusi situasi bola mati.
Sri Pahang yang turun tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan dan peraturan pinjaman pemain seharusnya menyalahkan apabila dibolosi pada minit terakhir babak pertama menerusi jaringan Bergson Da Silva yang menerima hantaran Fernando Forestieri.
LIGA SUPER 2023
FT: Johor Darul Ta'zim 2-0 Sri Pahang FC
⚽ Bergson Da Silva 45'+1, Fernando Forestieri 74'#LigaSuper2023#LuaskanKuasamuJohor#HogohPahangHogoh pic.twitter.com/zIQp2hvbE3
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 24, 2023
Gol kelapan penjaring terbanyak musim lalu itu nyata menaikkan semangat para pemain Harimau Selatan pada babak kedua dengan anak-anak buah Fandi Ahmad lebih banyak bertahan hingga menafikan peluang barisan serangan JDT untuk melakukan percubaan ke arah gawang.
Pertukaran taktikal yang dilakukan pengendali JDT, Esteban Solari dengan memasukkan Juan Muniz menggantikan Leandro Velasquez nyata membuahkan hasil apabila hantaran Muniz menemui Forestieri yang melencongkan bola melepasi jangkauan Zarif Irfan.
Gol ke-12 dalam Liga Super musim ini untuk penyerang Argentina itu menggembirakan hampir 15 ribu penyokong yang hadir dan JDT berjaya mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut dan mengekalkan ‘clean sheet’ dalam lapan perlawanan.

Kemenangan ini meletakkan JDT semakin kukuh di persada liga dengan 36 mata manakala Sri Pahang terpaksa akur dengan kekalahan pertama musim ini dan kekal ditangga ketiga dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan dan empat keputusan seri.