PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengumumkan Perfect Sports sebagai penaja utama bagi kejohanan yang akan diadakan sepanjang tahun 2023.

Manakala Kapten Batik dan Kaki Jersi pula menjadi penaja rasmi bagi perlawanan Kejohanan Individu Asia (AIC) di Hong Kong yang dijadualkan pada 6 hingga 10 Jun ini.

Naib Presiden SRAM, Sharon Wee berkata, Perfect Sports telah menunjukkan komitmen mereka terhadap sukan skuasy serta sokongan yang berterusan dan ianya menjadi hal penting dalam kejayaan persatuan kami.

“Kami teruja untuk mengumumkan pemain yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Individu Asia. Dalam kategori lelaki, kami mempunyai Ng Eain Yow, Ivan Yuen, Addeen Idrakie, dan Syafiq Kamal.

“Pasukan wanita pula terdiri daripada Rachel Arnold, Aifa Azman, Sivasangari, dan Ainaa Amani. Pemain-pemain ini telah menunjukkan dedikasi dan kemahiran mereka sekaligus menjadikan mereka duta besar untuk sukan skuasy di Malaysia,” kata Sharon dalam majlis pengumuman pada Isnin.

Jelas Sharon,  Perfect Maxx Bolt yang merupakan penaja pakaian lama SRAM akan terus menyokong atletnya dengan menyediakan pakaian untuk pelbagai kejohanan sepanjang tahun.

Komitmen mereka merangkumi acara seperti Asian Mixed Doubles, World Junior Championship, Asian Junior Individual Championship, Asian Games, dan Men’s World Team Championship.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami atas sokongan dan dedikasi mereka.

“Sambutan dan komitmen mereka yang kukuh terhadap persatuan kami telah memberi peluang kepada kami untuk cemerlang di pentas antarabangsa,” tambahnya lagi.