PENJAGA gol Kuala Lumpur Rovers, Ameerul Ehqwan menganggap aksi bertemu lawan yang dibarisi penyerang import yang berkualiti adalah sebagai pendedahan terbaik dalam kariernya.
Ameerul beraksi cemerlang menafikan peluang terbuka Terengganu FC sekali gus memastikan pasukannya hanya tewas 0-4 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
“Alhamdulillah segala yang dirancang oleh kami semuanya menjadi tetapi nasib tidak menyebelahi kami namun saya gembira kerana semua pemain bermain dengan baik dalam perlawanan ini.

“Berhadapan dengan pemain import adalah satu tugas yang berat buat saya kerana mereka mempunyai kualiti yang sangat baik dan ini adalah satu pendedahan yang sangat bagus untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pemain yang sering dinobatkan pemain terbaik perlawanan dalam kejuaraan liga itu turut mengakui sokongan daripada semua pihak membantunya mengatasi rasa gugup dan beraksi dengan cemerlang.
Dia juga berazam untuk menjadikan pengalaman dari perlawanan ini sebagai pemangkin semangat buat Kuala Lumpur Rovers meneruskan aksi cemerlang di Liga MBSB Bank Championship yang mana mereka masih kekal tanpa kalah sehingga kini.

“Ada perasaan gugup pada awal permainan tetapi apabila mendapat sokongan daripada jurulatih dan rakan sepasukan, semuanya menjadi lebih baik selepas itu dan kami mahu gunakan pengalaman ini sebagai momentum untuk beraksi cemerlang dalam Liga MBSB Bank Championship,” katanya.