INSIDEN pergaduhan melibatkan kedua-dua penyokong Melaka United FC dan Sri Pahang FC mencemari kebangkitan gemilang skuad Tok Gajah di Stadium Hang Jebat, Sabtu malam.

Pergaduhan tercetus sejurus Sri Pahang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90 apabila beberapa penyokong melompat pagar untuk menyerang sesama sendiri selepas berlaku provokasi.

Pihak polis berjaya menyuraikan pergaduhan itu dan dilihat dapat menahan beberapa individu yang dilihat mencetuskan provokasi dan memulakan pergaduhan.

 

Isu pergaduhan melibatakan penyokong kembali hangat dalam Liga Malaysia apabila sebelum ini penyokong Kelantan dan Perak merusuh di Stadium Sultan Muhammad IV dalam aksi Liga Premier minggu lalu.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, Sri Pahang bangkit bergaya dengan dua gol pada tiga minit terakhir untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas ketinggalan 2-0 sepanjang 87 minit permainan.