SKUAD Negeri Sembilan FC berada dalam keadaan tempang apabila berhadapan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Rabu.

Ini selepas skuad Jang kehilangan ramai tonggak utama akibat kecederaan selain masih terikat dengan pasukan kebangsaan yang sedang beraksi dalam perlawanan antarabangsa sempena kalendar antarabangsa Fifa.

Namun itu bukanlah alasan buat pengendali, K. Devan untuk anak-anak buahnya tidak mempamerkan aksi yang baik malah dia juga tidak mahu menggunakan strategi bertahan meskipun sedar kekuatan JDT.

Antara pemain yang mengalami kecederaan adalah penyerang import, Casagrande manakala penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel pula masih bersama skuad B-23 tahun kebangsaan dan Hein Htet Aung juga masih diperlukan khidmatnya oleh pasukan kebangsaan Myanmar.

Sementara itu di kem JDT, semuanya kelihatan baik dan terkawal dengan kesemua pemain yang mewakili skuad Harimau Malaya telah kembali menyertai latihan dan berada dalam keadaan baik.

Ketua Jurulatih, Esteban Solari sudah pasti mahu Harimau Selatan membawa pulang bekalan yang selesa tetapi pada masa yang sama berhati-hati dengan kejutan yang mungkin dilakar Negeri Sembilan terutama apabila mereka beraksi di laman sendiri.

Pengendali JDT, Esteban Solari

Ketika aksi Liga Super di stadium yang sama pada Mac, JDT menewaskan Negeri Sembilan 7-0 untuk merekodkan kemenangan terbesar JDT musim ini dalam liga tetapi Solari tetap berwaspada kerana tidak mahu terjerat dengan permainan yang mungkin berbeza ditampilkan Negeri Sembilan.