PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua jurulatih NSFC, K Rajan mengakui ketumpulan jentera serangan serta kelemahan benteng pertahanan menjadi punca utama kegagalan pasukannya meraih tiga mata penuh.

Menurutnya, walaupun beraksi di laman sendiri, anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mencatat kemenangan.

“Walaupun mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri, tetapi impian untuk mendapatkan tiga mata tidak tercapai.

“Ternyata kami masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki jika mahu meraih keputusan lebih baik selepas ini,” katanya.

Rajan menegaskan pasukannya perlu meningkatkan intensiti latihan sebagai persediaan menghadapi perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC pada 25 April nanti.

Beliau turut menyasarkan keputusan lebih positif pada baki saingan musim ini bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga.

“Kami perlu bekerja lebih keras dan meningkatkan prestasi untuk memastikan kedudukan kami bertambah baik,” katanya.