KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac memuji usaha para pemainnya yang bertahan dengan baik selepas bermain dengan 10 pemain sepanjang 70 minit meskipun gagal mendapatkan mata penuh ketika diikat Kuching City FC 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Super.

Adrijan Rudovic dilayangkan kad merah selepas pengadil merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) atas kekasaran kepada Jordan Mintah sekali gus menukar rentak permainan kedua-dua pasukan terutama pada babak kedua.

Kuljanac juga terpaksa melakukan perubahan dalam skuad apabila Kamal Azizi terpaksa dikeluarkan seawal minit kedua selepas mengalami kecederaan yang turut menjejaskan taktikal pasukan secara keseluruhan.

Miroslav Kuljanac berpuas hati dengan satu mata

“Pada akhirnya saya gembira dengan satu mata kerana ianya perlawanan yang sukar. Saya perlu menukar Kamal Azizi yang cedera pada minit kedua dan itu menyukarkan kami sebelum kad merah menukar segalanya dan kami perlu bertahan namun masih mampu mencipta peluang pada babak kedua.

“Keputusan sudah pasti akan berlainan jika 11 lawan 11 namun meskipun bermain dengan 10 orang, kami masih beraksi baik dan bertahan dengan baik sepanjang lebih kurang 70 minit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali asal Croatia itu juga perlu mencorak semula kesebelasan utama dengan KL City akan berehat pada minggu kedua sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim pada perlawanan ketiga Liga Super pada 25 Mei 2024.

Bukan tugas mudah untuk bermain 10 orang selama 70 minit.

“Saya perlu memeriksa terlebih dahulu dengan doktor pasukan sebelum menentukan kesebelasan terbaik namun kecergasan pemain juga kini semakin baik dan saya harap kami dapat bangkit semula selepas ini,” jelasnya.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad, KL City terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Paulo Josue sebelum Pedro Henrique memastikan satu mata dapat dibawa pulang ke Kuching menerusi jaringan penyamaan.