SKUAD yang baharu dijenamakan semula, Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengalami kekalahan kedua dalam kempen Liga Super 2024-25 selepas tewas 2-3 kepada Sabah FC namun ianya belum memberikan kebimbangan buat ketua julung, Park Jae-hong.

Jae-hong yang ditemui selepas perlawanan berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya namun ada beberapa perkara yang gagal dilakukan ketika sesi latihan gagal diterjemahkan dalam perlawanan.

Dia juga mahu para pemainnya memanfaatkan jaringan menerusi ‘open play‘ selepas banyak mensia-siakan peluang dan hanya berjaya menjaringkan gol menerusi ‘set piece‘ setakat dua perlawanan awal ini.

Park Jae-hong mengetuai barisan kejurulatihan Kelantan Darul Naim FC

“Saya gembira dengan aksi yang para pemain tunjukkan tetapi untuk mencari kemenangan, kami perlu lebih fokus kepada gol padang dan bukan hanya bergantung kepada ‘set piece‘ kerana ada apa yang kami lakukan di padang latihan tidak dapat dibuat ketika perlawanan.

“Terima kasih kepada ribuan para penyokong yang hadir di stadium dan kami akan berusaha lebih gigih untuk memberikan kemenangan kepada anda semua selepas ini,” jelasnya yang dibantu juru bahasa.

KDN sekali lagi tewas tipis dengan satu jaringan dalam dua perlawanan terlepas peluang untuk mengutip satu mata selepas Chadrak Mazungu gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Chadrak Mazungu gagal menyempurnakan sepakan penalti

Kekalahan itu meletakkan KDN kini ditangga ke-11 liga dan bakal berhadapan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada perlawanan ketiga sebelum liga berhenti seketika untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa Fifa.