SABAH FC memberikan hadiah selamat tinggal penuh bermakna buat Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan terakhirnya dengan meraih kemenangan 4-0 ke atas PT Athletic dalam aksi pertama Pusingan 16, Piala Malaysia.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menjadi aksi terakhir buat pengendali itu yang membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir November ini bersama skuad Badak.

Dua gol pada babak pertama menerusi Saddil Ramdani dan Danial Haqim cukup untuk memberikan kelebihan selesa buat Sabah untuk dibawa ke perlawanan kedua yang juga bakal berlangsung di venue sama.

Meskipun berstatus semi pro, PT Athletic berjaya memberikan persembahan yang membanggakan dengan dibantu beberapa pemain veteran yang pernah memenangi Piala Malaysia seperti Amri Yahyah dan Indra Putra Mahyuddin.

Skuad kendalian Nazrulerwan Makmor dinafikan gol pertama dalam kejohanan ini apabila gol jaringan Indra Putra pada babak kedua dibatalkan selepas Amri Yahyah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Kecederaan yang dialami Gabriel Peres menyaksikan Daniel Ting dibawa masuk dan dia tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol ketiga selepas mengambil kesempatan keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti.

Sabah seakan tidak puas dengan kelebihan tiga jaringan dan terus mengasak kubu PT Athletic dan berjaya mendapat gol keempat selepas percubaan Ummareng Bachok ditolak masuk pemain lawan.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Sabah membawa bekalan selesa manakala PT Athletic memerlukan keajaiban untuk memadam kelebihan ini pada perlawanan kedua yang dijadualkan 27 November.