Foto : Perak FC

PERAK FC turun keazaman penuh tinggi namun terpaksa akur kehebatan PDRM FC, tewas 2-3 dalam saingan penuh dramatik Liga Super 2024-25 di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Tidak menunggu lama, kapten pasukan Luciano Guaycochea menguji pelawat seawal minit keempat tetapi sempat dihalang penjaga gol See Tian Keat.

Kerja keras pemain tuan rumah berhasil apabila Tommy Mawat merembat gol pembukaan m-8 dari luar kotak penalti hasil lorongan Lee Tae-min.

Tommy Mawat jaringkan gol pertama The Bos Gaurus.

PDRM cuba merapati kedudukan tapi tandukan Ifedayo Olusegun lemah ke arah Tian Keat berselang beberapa minit. Dia kemudian dikasari Kamal Arif Shakimar untuk mendapat peluang penalti namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan.

Kehampaan itu cepat ditebus semula Ifedayo m-23 selepas mudah menanduk masuk jaringan penyamaan hasil hantaran cantik Fadi Awad.

Hajat Perak menambah gol terencat selepas VAR tidak mengesahkan dakwaan bola terkena pemain lawan, Fakhrul Azim Zulphatah dalam petak penalti PDRM.

Munir menjadi perhatian penyokong untuk keputusan VAR. 

Lebih menarik, pengadil perlawanan Munir Izam kelihatan sibuk bukan sahaja mengawal permainan tetapi sentiasa ‘berhubung’ dengan VAR bagi memastikan kelancaran untuk mendapatkan keputusan yang telus dan saksama.

Bersambung babak kedua, Yusri Che Lah melakukan rombakan dengan memasukkan tiga pemain sekali gus iaitu Wan Zack Haikal , Syukri Baharun dan Luka Milunovic dalam menambah kekuatan di bahagian hadapan.

Serangan kilat pelawat mencetus kegembiraan kem PDRM apabila Bruno Suzuki meledak cantik gol selepas bijak memanfaatkan hantaran lintang Eizrul Ashraf Effendy m-72.

Pemain gantian, Wan Zack Haikal mengikat sementara kedudukan di penghujung babak memanfaatkan kesilapan tampanan Bryan See untuk tidak mengecewakan 11,647 penyokong yang hadir ke stadium malam ini.

Pun begitu, Ifedayo kembali menjadi senjata pemusnah dicari-cari dengan menggegar gawang Perak pada hujung masa tambahan.

Perak kini gagal memungut sebarang mata selepas dua perlawanan manakala skuad P Maniam tersenyum ceria meraih kemenangan sulung untuk di bawa pulang ke Selayang.