PENJAGA gol Aston Villa, Emiliano Martinez, mendedahkan pengalaman berharga bermain bersama Lionel Messi dalam skuad kebangsaan Argentina.
Martinez, yang sudah menjadi sebahagian daripada La Albiceleste sejak 2021, berkongsi bahawa Messi adalah seorang manusia yang luar biasa dan mempunyai aura yang tiada tandingan di dunia bola sepak.
Dalam satu temubual di saluran Youtube Men in Blazers, Martinez ditanya sama ada pemain baharu skuad kebangsaan Argentina merasa gementar apabila mendekati Messi yang kini berusia 37 tahun.
“Untuk pemain lain, mungkin ya, tetapi tidak bagi saya kerana kami semua adalah sama, saya membuat lawak dengan semua orang.
“Dia mempunyai aura yang tiada siapa pun ada, dia adalah seseorang yang kita sanjungi apa sahaja yang dia lakukan seperti dia pergi ke gym, anda juga akan pergi ke gimnasium. Dia memiliki aura itu, yang tiada dalam dunia bola sepak,” kata Martinez.

Martinez (kanan) menyifatkan Messi dilahirkan dengan bakat luar biasa dan unik tetapi tetap seorang insan yang rendah hati.
Tambah Martinez lagi, meskipun Messi dilahirkan dengan bakat luar biasa yang unik, ketua pasukan Argentina itu tetap seorang insan yang rendah hati.
“Dia adalah seorang manusia yang sangat baik kerana dia mempunyai bakat luar biasa dan apabila anda dilahirkan dengan bakat seperti itu, tiada siapa yang boleh menandingi anda..dia adalah orangnya,” kata Martinez dengan penuh kekaguman.
Lionel Messi dan Emiliano Martinez telah membentuk gandingan mantap dalam skuad Argentina, menghasilkan kejayaan yang mengagumkan termasuk memenangi dua kejuaraan Copa America dan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pada tahun 2024, Martinez menikmati musim yang gemilang, bukan sahaja membantu Aston Villa meraih kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris, tetapi juga menyumbang kepada kejayaan Argentina mempertahankan kejuaraan Copa America.
Sepanjang kejohanan tersebut, Martinez hanya melepaskan satu gol, menunjukkan kehebatannya sebagai benteng terakhir.
Selain itu juga, Martinez turut diiktiraf dengan anugerah Yashin Trophy di majlis Ballon d’Or dan dianugerahkan The Best FIFA Men’s Goalkeeper.
Penjaga gol berusia 32 tahun itu akan kembali beraksi bersama Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Newcastle United di St James Park.
Aura dan personaliti Lionel Messi nyata meninggalkan kesan mendalam kepada rakan sepasukannya, termasuk Martinez, yang melihat bintang Inter Miami itu sebagai contoh unggul dalam dan luar padang.