DUNIA bola sepak sekali lagi digegarkan dengan tindakan tegas FIFA terhadap isu manipulasi perlawanan, kali ini melibatkan kelab dari Vietnam, Phu Tho FC, yang didapati bersalah kerana terlibat dalam pengaturan keputusan perlawanan.

Hukuman berat dijatuhkan apabila pasukan utama kelab itu diusir daripada saingan Divisyen Dua Liga Bola Sepak Vietnam serta-merta, dan diarahkan turun ke Divisyen Tiga musim hadapan.

Keputusan ini diumumkan oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA selepas siasatan menyeluruh dijalankan ke atas kes terbabit.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk penipuan dalam sukan, khususnya pengaturan perlawanan yang mencemari semangat kesukanan dan keadilan dalam pertandingan.

Selain Phu Tho, kelab dari Kenya, Muhoroni Youth turut menerima nasib serupa apabila turut diusir dari Liga Super Kebangsaan Kenya dan diturunkan ke Divisyen Satu negara itu.

FIFA turut memaklumkan bahawa badan induk bola sepak negara masing-masing telah dihubungi untuk segera melaksanakan pelan pencegahan bagi membendung gejala ini daripada terus menular.

Usaha kolektif ini adalah penting bagi memastikan sukan bola sepak kekal telus dan bebas daripada anasir jenayah yang merosakkan reputasi permainan nombor satu dunia ini.