Kredit Gambar: PSM
Malaysia semakin hampir menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali meraih pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw Sukan Asia selepas menyingkirkan Indonesia 2-1 dalam aksi separuh akhir Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kemenangan itu hadir menerusi kebangkitan dramatik regu ketiga negara yang terpaksa berjuang sehingga set penentuan selepas Malaysia terlebih dahulu ketinggalan dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Regu pertama negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali gagal menghadirkan mata pembukaan apabila tewas kepada Saiful Rijal, Yudha Aswinata dan Muhammad Hardiansyah Muliang 15-10, 13-15, 13-15.
Tekanan bagaimanapun tidak berpanjangan apabila Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias tampil memastikan Malaysia kembali dalam persaingan dengan menewaskan Jelki Ladada, Syamsul Akmal dan Andy Try Sandi Saputra 15-10, 15-6.
Kedudukan 1-1 menyaksikan segala-galanya bergantung kepada regu ketiga yang menampilkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan.
Malaysia berdepan detik mendebarkan apabila Zarif yang bertindak sebagai tekong pada awal permainan terpaksa digantikan Muhammad Haziq Hairul Nizam ketika penghujung set pertama dalam usaha mengubah corak permainan.
Bagaimanapun, pertukaran itu belum mampu mengubah momentum apabila Indonesia terus memberi tekanan. Zarif kemudian kembali mengambil alih tugas tekong pada penghujung set kedua dan membantu Malaysia bangkit untuk mengikat permainan 15-11.
Momentum berkenaan diteruskan dalam set penentuan apabila trio negara bermain lebih tenang sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 15-11, sekali gus memastikan Malaysia mara ke final.
Kejayaan itu turut membuka peluang buat Malaysia menamatkan kemarau emas acara regu berpasukan yang kali terakhir dimenangi pada Sukan Asia Beijing 1990.
Malaysia kini hanya dipisahkan satu kemenangan daripada emas apabila bakal berdepan Thailand dalam aksi final esok. Thailand terlebih dahulu menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Jepun 2-0 dalam satu lagi separuh akhir.