Malaysia terpaksa menamatkan cabaran acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di peringkat suku akhir selepas Indonesia muncul pemenang 3-2 dalam pertarungan sengit di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, sebentar tadi.

Kemenangan Leong Jun Hao ke atas pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie pada aksi pembukaan sempat memberikan Malaysia kelebihan awal, namun skuad negara gagal mengekalkan momentum sebelum Indonesia melengkapkan kemenangan menerusi perlawanan kelima.

Jun Hao terlebih dahulu mengejutkan Jonatan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 20-22, 21-12, 21-17, sekali gus meletakkan Malaysia di depan 1-0.

Indonesia bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk menyamakan kedudukan apabila gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tunduk kepada Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 21-19, 10-21.

Malaysia kemudian ketinggalan 1-2 selepas Justin Hoh gagal menewaskan Alwi Farhan dalam aksi perseorangan kedua, dengan wakil negara tewas 19-21, 19-21.

Aaron Chia-Tee Kai Wun kembali menyuntik harapan apabila mereka melakukan kebangkitan untuk menewaskan Leo Rolly Carnado-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13, sekali gus mengheret pertembungan kepada penentuan kelima.

Namun, Eogene Ewe tidak berjaya menyempurnakan misi Malaysia apabila tewas kepada Moh Zaki Ubaidillah 11-21, 11-21, membolehkan Indonesia mengesahkan kemenangan 3-2.

Kekalahan itu bermakna Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir dan terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki.

Malaysia kini perlu terus menunggu selepas kali terakhir meraih pingat acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia Incheon 2014 menerusi gangsa.

Dalam rekod penyertaan Sukan Asia, Malaysia belum pernah memenangi emas acara berpasukan lelaki, manakala dua pingat perak yang diraih di Bangkok 1966 dan Beijing 1990 kekal sebagai pencapaian terbaik negara dalam acara berkenaan.