Kapten Harimau Malaya, Dion Cools, tidak menyembunyikan keterujaannya untuk memimpin skuad negara mengharungi saingan Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 yang bermula dengan pertemuan menentang Bangladesh, Jumaat ini.
Cools mengakui sudah tidak sabar untuk turun beraksi selepas Malaysia bakal bertemu Bangladesh buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, selain menantikan pertemuan menentang tuan rumah Indonesia pada aksi kedua.
Menurut pemain pertahanan itu, fokus ketika ini adalah untuk memastikan persiapan terakhir pasukan berjalan lancar sebelum turun menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Kami akan menjalani sesi latihan terakhir dan saya sangat menantikan perlawanan bertemu Bangladesh. Semoga kami dapat mencapai sesuatu yang baik untuk negara Malaysia,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Menariknya, aksi berdepan Bangladesh nanti juga bakal menjadi pengalaman pertama Cools beraksi di Stadium Gelora Bung Karno kerana beliau mengakui masih belum berkesempatan melihat venue tersebut.
“Mengenai stadium, saya masih belum melihatnya. Jadi, esok akan menjadi kali pertama saya melihat dan beraksi di stadium tersebut. Saya pasti akan berasa teruja,” katanya.
Selepas Bangladesh, perhatian Harimau Malaya akan beralih kepada Indonesia pada 28 September. Cools mengakui skuad Garuda antara pasukan yang perlu diberikan perhatian selepas memiliki ramai pemain berkualiti yang beraksi di Eropah dan luar negara.
“Indonesia merupakan antara pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana mereka mempunyai ramai pemain berkualiti yang beraksi di Eropah dan di luar negara. Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka, tetapi buat masa ini, saya akan fokus terlebih dahulu kepada perlawanan esok,” katanya.
Pertemuan dengan Indonesia juga bakal menjadi aksi pertama Malaysia menentang skuad Garuda dalam tempoh lima tahun. Cools menyifatkan perlawanan berkenaan cukup istimewa dan berharap kedua-dua pasukan dapat menampilkan barisan terbaik.
“Sudah tentu, perlawanan tersebut sangat istimewa. Untuk perlawanan seperti itu, kita mahu semua pemain terbaik dapat beraksi,” katanya.
Malaysia akan membuka kempen menentang Bangladesh esok dengan sepak mula dijadualkan 5 petang waktu Malaysia.