KEGAGALAN pemain negara melepasi saingan suku akhir Piala Sudirman 2025 menunjukkan betapa besar jurang yang wujud antara Malaysia dengan pasukan kelas dunia.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, kekalahan 3-0 kepada China di suku akhir hari ini, amat menyakitkan.
“Tetapi itulah yang perlu diterima, kita gagal melawan China dan kita perlu jadikan pengajaran bahawa inilah nilai yang kita peroleh ketika berdepan pasukan berkelas dunia di peringkat tertinggi,” kata Jonassen.
Menurutnya, meskipun skuad negara memiliki perancangan untuk menghadapi perlawanan, tetapi pemain perlu benar-benar melaksanakannya dengan tepat dan kekal kuat biarpun gagal meraih mata.
“Untuk melihat sudut positif yang kita peroleh, saya memerlukan masa tetapi sepintas lalus aya rasakan ada ruang untuk kita mencabar pasukan seperti China.
“Saya percaya bahawa skuad ini perlu mara ke depan dengan haluan positif biarpun perjalanan itu sangat jauh untuk pemain mencapai tahap tertinggi.”
Terdahulu, skuad negara tersingkir dari perburuan trofi Piala Sudirman selepas kalah 3-0 kepada China di suku akhir.
Wakil negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kalah kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 17-21, 17-21, Leong Jun Hao kalah kepada Shi Yu Qi 6-21, 14-21 dan K Letshanaa tunduk kepada Chen Yu Fei 8-21, 7-21.