BOLA sepak England masih dalam tempoh berkabung selepas kematian ikon Manchester United, Sir Bobby Charlton bulan lalu.

Charlton,86,  didapati terjatuh secara tidak sengaja di rumah jagaan Willows di Knutsford sebelum disahkan telah meninggal dunia di Hospital Am, Macclesfield pada 21 Oktober, Sabtu lalu.

Pada awalnya, beliau dianggap tidak mengalami sebarang kecederaan selepas diperiksa oleh kakitangan di pusat jagaan tersebut. Namun, tidak lama kemudian mereka mendapati bahagian belakang Charlton mengalami pembengkakan dan beliau dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut Daily Mail, satu inkues diadakan untuk mengenalpasti punca kematiannya. Dalam inkues itu, beliau disyaki telah hilang keseimbangan ketika bangun dari kerusinya dan melanggar bingkai tingkap dan berkemungkinan besar juga terkena radiator semasa jatuh.

Inkues yang diadakan di Mahkamah Coroner Cheshire di Warrington mendapati Charlton telah patah rusuk dalam insiden itu dan disahkan meninggal dunia lima hari kemudian.

Punca kematian Charlton secara menyeluruh diklasifikasikan sebagai trauma di paru-paru (haemopneumothorax traumatik), jatuh dan dementia. Jacqueline Devonish mengisytiharkan kematian beliau sebagai kemalangan.

Beliau sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital untuk pembedahan membuang apendiks, penyakit gout, dan jangkitan saluran pernafasan. Beliau juga dijangkiti Covid-19 pada September lalu dan memerlukan sokongan untuk semua aspek kehidupan harian daripada kakitangan di rumah jagaannya seperti yang dijelaskan oleh mahkamah.

Charlton yang berjuang dengan penyakit dementia dinobatkan sebagai salah satu pemain terhebat dalam bola sepak England selepas berjaya memenangi Piala Dunia, Piala Eropah, Ballon d’Or, dan tiga gelaran liga sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.

Dalam perkembangan lain, satu upacara tertutup akan diadakan pada 13 November sebagai penghormatan kepada Charlton sepanjang hidupnya dan ribuan penyokong dijangka akan memberikan penghormatan kepada mendiang di Katedral Manchester.