PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim bertegas hanya kemenangan di pentas final Liga Europa pada 21 Mei ini mampu memberi makna kepada musim suram Red Devils tempat kedua langsung tidak bermakna buat kelab sebesar United.

Amorim kini hanya tinggal satu langkah untuk membawa pulang trofi Eropah pertama dalam era baharunya selepas United membelasah Athletic Bilbao 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua, menjadikan agregat keseluruhan 7-1. Mereka bakal berdepan Tottenham Hotspur dalam final sesama kelab Inggeris.

Lebih daripada sekadar tiket ke Liga Juara-Juara musim depan dan suntikan kewangan besar, Amorim mahu menghadiahkan harapan baharu buat penyokong setia yang lama menanti sinar dalam musim penuh kekecewaan di saingan domestik.

“Saya dah pun rasa tertekan kerana final ini. Kalau kami kalah, segalanya tak bermakna,” katanya dengan jujur.

“Wang dan kejuaraan bukan yang paling penting. Ia tentang perasaan memberi sesuatu kepada penyokong yang terus bersama kami.”

Mason Mount menjadi wira dengan dua jaringan selaku pemain gantian, termasuk satu rembatan luar biasa dari kawasan sendiri ketika penjaga gol lawan berada jauh dari gawang.

Aksi itu mengundang senyuman lebar dari Amorim dan seluruh bangku simpanan.

“Bukan saya seorang, tengok sahaja reaksi di bangku simpanan semua orang gembira untuk Mount. Mereka tahu bagaimana dia berjuang untuk pulih dan beri yang terbaik,” kata Amorim bangga.

Final di Bilbao bakal menjadi ujian terbesar Amorim setakat ini, dan dia tahu hanya satu keputusan yang boleh diterima menang, atau musim ini akan terus dikenang sebagai kegagalan.

Apa pun, peminat Manchester United di Malaysia pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan sendiri kehebatan Red Devils secara langsung apabila mereka dijadual mengadakan perlawanan istimewa menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025.

Sekiranya segalanya berjalan lancar, United mungkin turun ke Kuala Lumpur sebagai juara Liga Europa dan itu bakal menjadikan aksi ini lebih menarik.

Tiket boleh didapati di myticketempire.com. United sedang menyala. Jangan lepaskan peluang tengok sendiri keajaiban mereka depan mata!