SATU sejarah baharu akan tercipta apabila dua kelab gergasi bola sepak Asia, Al Hilal dan Urawa Red Diamonds bertemu dalam aksi final pertama Liga Juara-Juara AFC 2022 edisi ke-41 pada 29 April 2023 untuk menentukan siapakah bakal bergelar juara kelab Asia.

Juara bertahan, Al Hilal bakal mencuba untuk menjuarai kejohanan terbesar kelab Asia ini buat kali ketiga sejak melakukannya pada 2019 dan 2021. Begitu juga dengan Urawa Reds yang kini mahu menambah koleksi trofi berprestij ini selepas menjuarainya pada 2007 dan 2019 selain membalas dendam kekalahan pada 2019 kepada lawan yang sama.

Stadium Antarabangsa Raja Fahd dengan kapasiti lebih 56,000 penyokong ini bakal menjadi medan perlawanan akhir pertama yang juga akan menyaksikan pertemuan ketiga kedua-dua kelab ini selepas aksi final 2017 dan 2019.

 

Ketua Jurulatih Al Hilal, Ramon Diaz yang mempunyai pengalaman tewas kepada Urawa Reds pada final 2017 telah melaungkan keyakinan bahawa episod sedih itu tidak akan berulang lagi dan dia kini boleh bergantung harap kepada beberapa pemain utamanya untuk mengecewakan wakil Jepun itu.

Luciano Vietto akan mengetuai kelab ini disamping maestro Arab Saudi, Salem Al Dawsari manakala penyerang Nigeria, Odion Ighalo sudah pasti menjadi ancaman utama dengan dia mempunyai misi sendiri untuk menambah koleksi tujuh golnya ketika ini sekaligus memadam rekod lapan jaringan oleh penyerang Al Duhail, Edmilson Junior dalam carta penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC.

Untuk sampai ke final, Al Hilal hanya tewas sekali ketika peringkat kumpulan kepada Al Rayyan dan menjaringkan 22 gol dan hanya dibolosi enam gol. Kejayaan mempertahankan kejuaraan akan memberikan mereka kejuaraan ketujuh oleh kelab Arab Saudi dan akan menyertai Al Ittihad, Thai Farmers Bank, Pohang Steelers dan Suwon Samsung Bluewings dalam senarai kelab yang menjuarai ACL dua kali berturut-turut.

Laluan Al Hilal ke final ACL

Manakala buat Urawa Reds pula, aksi final ini seakan kehadiran semula mereka dalam ACL selepas layak ke final lapan bulan lalu dengan menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors pada Ogos 2022 ekoran perubahan kalendar kejohanan ini.

Dengan muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam kejohanan ini dengan 31 gol setakat ini, kelab Jepun ini sudah tentu mahu meneruskan pesta gol walaupun kini dikendalikan ketua jurulatih baharu dari Poland, Maciej Skorza yang menggantikan Ricardo Rodriguez pada permulaan kempen 2023 Februari lalu.

Skorza akan merasai sendiri pengalaman di peringkat tertinggi kelab Asia tanpa kehadiran beberapa pemain yang menjadi tunjang Urawa ke final seperti Yusuke Matsuo, Kasper Junker dan Ataru Esaka yang sudah meninggalkan kelab.

Laluan Urawa Reds ke final ACL

Ini bermakna, Skorza akan menumpukan perhatiannya kepada David Moberg Karlsson, Jose Kante dan Bryan Linssen untuk beraksi dengan baik sementara Hiroki Sakai akan mengepalai barisan pertahanan yang hanya melepaskan empat gol setakat ini dan ini akan memberikan keyakinan buat Urawa menjelang aksi kedua di Stadium Saitama pada 6 Mei 2023.

Dengan kejayaan gemilang menjadi taruhan, pentas kini sudah tersedia untuk aksi final pertama yang pastinya akan memberikan debaran buat pemain dan penyokong kedua-dua pasukan.