ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah berjaya memecah dua rekod Asia, selain mencatat tiga rekod peribadi terbaik pada kejohanan Fluid Summer Showdown di Polk City, Florida minggu lalu.
Rekod terbaiknya itu dianggap sebagai persediaan buat Aaliyah menjelang Sukan Dunia yang bakal membuka tirai pada 7 hingga 17 Julai ini.
Aaliyah mencipta rekod melepasi 8,000 mata buat pertama kali dalam acara kegemarannya, ‘tricks’ dengan meraih 8,080 mata untuk menduduki tempat kedua pada pusingan pertama yang dimenangi peserta Amerika Syarikat, Erika Lang muncul yang mencatat 11,420 mata.
Atlet berusia 18 tahun itu kemudian menamatkan saingan pusingan kedua dengan 7,300. Rekod Asia dan catatan terbaik sebelum ini adalah 7,680 mata dilakukan pada Kejohanan Asia 2019.
Selain cemerlang dalam acara tricks, Aaliyah juga berjaya mencipta rekod baharu peribadi dalam acara jump apabila melakukan 41.9meter mengatasi rekod 41.4m yang dilakukan di Moomba Masters, di Melbourne, Mac lalu.
“Saya sangat gembira dapat kembali beraksi di Florida selepas empat tahun. Ini merupakan kejohanan yang baik untuk saya kerana semua peserta dilihat menyaingi rekod peribadi bagi membuktikan kemampuan dan kedudukan dengan tekanan yang cuma minima.
“Suasana yang baik kerana dikelilingi oleh ramai atlet ski dan rakan-rakan di tempat ini yang saya kira sebagai salah satu tempat terbaik untuk ski air di Florida. Walaupun keluasannya agak kecil, namun angin di sini sangat baik untuk acara lompatan.
“Saya juga sebenarnya tidak sangka dapat beraksi dengan sangat tenang sepanjang pertandingan dan itu sangat membantu mendapatkan mata yang baik,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Aaliyah yang menghuni ranking ke-14 kategori tricks terbuka wanita akan menyertai kejohanan June Okee 3-Event Record di West Palm Beach, Florida pada 25-26 Jun sebelum beraksi pada Sukan Dunia di Birmingham, Alabama dari 7 hingga 17 Julai.