SENSASI Muay Thai negara, Johan Ghazali atau Jojo, optimis mampu menumbangkan lawannya dari Jepun secara knockout apabila beraksi di pentas ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo, hari ini.

Jaguh berusia 19 tahun itu tidak berselindung keyakinannya, malah menjadikan tumbukan tangan kanan sebagai senjata utama untuk menamatkan pertarungan lebih awal menentang Shimon Yoshinari.

“Tumbukan tangan kanan akan menjadi senjata utama saya. Saya sudah banyak menang dengan pukulan itu dan saya rasa dia juga tidak berbeza daripada lawan-lawan lain,” katanya kepada ONE.

Jojo yang semakin mencipta nama di pentas ONE Championship berkata persiapannya cukup rapi dengan fokus kepada aspek taktikal serta memperbaiki kelemahan.

“Saya sentiasa memberikan 100 peratus dalam setiap kem latihan. Intensiti dan dedikasi sama seperti biasa, tetapi kali ini kami lebih fokus kepada pelan permainan dan memperbaiki kesilapan,” katanya.

Mengulas lawannya yang juga juara dunia, Jojo yakin mampu mengekang kelebihan Yoshinari, selain teruja beraksi di Jepun dan menegaskan sokongan penyokong tuan rumah tidak akan menjejaskan fokusnya.