“KAMI gembira dapat ke final! Ini kali kedua kami mara ke final (di laman sendiri) sejak tahun lepas!”
Demikian ungkapan pertama terbit dari mulut Aaron Chia selepas dia dan Soh Wooi Yik menempah tiket ke final Terbuka Malaysia 2026.
Kemaraan ke final itu membolehkan beregu nombor dua dunia itu muncul sebagai beregu lelaki pertama negara ke final sejak Goh V Shem–Lim Khim Wah melakukannya dan menjuarai edisi 2014.
“Ini adalah satu pencapaian, tapi masih ada satu perlawanan lagi esok, jadi kami perlu fokus,” tambah Aaron Chia.
Penantian 12 tahun itu nyata membakar semangat rakyat negara apabila Aaron Chia–Soh Wooi Yik menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, 23-21, 21-18 dalam tempoh 51 minit, menempah tempat mereka di pentas akhir.

Dalam final esok, mereka akan berdepan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, selepas menewaskan Ben Lane-Sean Vendy (England) 8-21, 21-11, 21-18 dalam tempoh 58 minit, dan dijangka menjadi cabaran terbesar untuk menjuarai kejohanan.
Perlawanan ini akan menjadi pertemuan ketiga antara kedua-dua pasangan dengan rekod seri 1-1, selepas tewas 22-20, 21-19 di Terbuka India dan menang 15-21, 21-18, 21-19 di Terbuka Singapura tahun lalu.
“Kami sudah lama tidak bertemu mereka. Tahun lepas, mereka bermain sangat mantap, tetapi kali ini kami mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri,” tambah Aaron Chia.
Pada tahun lalu, Aaron Chia-Wooi Yik kandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, namun muncul naib juara Masters Malaysia.