KEGAGALAN beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, melangkah lebih jauh daripada suku akhir terus menjadi tumpuan apabila status mereka sebagai juara dunia sekali lagi dipersoalkan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, menegaskan pasangan nombor satu negara itu perlu menampilkan standard lebih tinggi dan konsisten selari kedudukan mereka dalam kelompok terbaik dunia.

Menurut Nova, meskipun Tang Jie-Ee Wei jarang tersingkir awal dan menunjukkan peningkatan prestasi, mereka masih belum mencapai tahap kestabilan dalam kejohanan biarpun sebelum ini kerap mara ke separuh akhir atau final.

“Kita bukan bercakap soal juara setiap kejohanan, tetapi sebagai pasangan terbaik dunia, mereka perlu mampu mara ke separuh akhir atau final secara berturut-turut dan konsisten,” kata Nova merumus prestasi anak didiknya di Terbuka Malaysia.

Beliau turut menegaskan kekalahan di peringkat suku akhir tidak sepatutnya berlaku lagi buat pasangan pilihan apabila sasaran minimum seharusnya selari dengan kedudukan pilihan kejohanan.

Semalam, pasangan nombor empat dunia itu terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia selepas tewas kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 17-21, 21-17, 9-21.

Menjelang Terbuka India bermula Selasa ini, Nova menggesa Tang Jie-Ee Wei segera ‘reset’ dan bangkit kerana terlalu memikirkan kegagalan suku akhir hanya akan membebankan prestasi mereka di kejohanan seterusnya.