BEREGU campuran sensasi negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menerima tambahan insentif RM460,000 sebagai penghargaan atas kejayaan bersejarah menjulang kejuaraan dunia di Paris, Ogos lalu.

Ganjaran lumayan itu disumbangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebanyak RM300,000, diikuti Yonex RM100,000 dan Affin Bank RM60,000.

Kemenangan mereka mencipta sejarah baharu badminton Malaysia apabila menjadi beregu campuran pertama negara dinobat juara dunia.

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut tidak pulang tangan kosong apabila menerima RM192,500 hasil pencapaian mara ke final Kejohanan Dunia.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ganjaran itu bukti penghargaan dan kepercayaan BAM terhadap atlet serta jurulatih yang terus mengharumkan nama negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yonex dan Affin Bank atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan badminton Malaysia.

Sementara itu, Ee Wei melahirkan rasa terharu: “Pertama sekali, saya rasa kami amat menghargai sokongan daripada Tengku (Zafrul), BAM, penaja kami Yonex dan juga Affin. Kami amat bersyukur atas sokongan mereka kerana kejuaraan ini bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk pasukan sokongan kami iaitu jurulatih serta semua kakitangan sokongan.”

Setakat ini, juara dunia beregu campuran itu sudah menerima insentif bernilai hampir RM1 juta.