JAGUH perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young, terus mengganas di Kuala Lumpur apabila merangkul gelaran ketiga berturut-turut Terbuka Malaysia selepas menundukkan wakil China, Wang Zhi Yi, pada aksi final di Axiata Arena Bukit Jalil.

Dalam ulangan final edisi lalu, pemain nombor satu dunia itu sekali lagi membuktikan kelas tersendiri apabila menewaskan pencabar di ranking kedua dunia berkenaan menerusi keputusan straight set 21-15, 24-22 selama 56 minit.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Se Young melebarkan rekod kemenangan ke-17 ke atas Zhi Yi daripada 21 pertemuan, sekali gus mengukuhkan cengkamannya ke atas musuh tradisi dari China itu.

An Se Yong meneruskan dominasi dalam perseorangan wanita dunia.

Lebih menakjubkan, sepanjang musim lalu sahaja, juara Olimpik itu menewaskan Zhi Yi dalam tujuh aksi final berturut-turut, satu statistik yang menggambarkan dominasi mutlaknya di pentas dunia.

“Saya sentiasa percaya pada diri sendiri dan tidak pernah berputus asa, sebaliknya hanya fokus bermain mengikut gaya saya,” kata Se Young yang kekal tenang ketika berdepan detik genting.

Keyakinan tinggi setiap kali menentang Zhi Yi jelas menjadi senjata ampuh buat Se-young, di samping disiplin taktikal yang menjadikan permainannya sukar digugat lawan.

Dengan kejayaan terbaharu itu, Se Young bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai RM415,490 (AS$101,500), malah semakin mengukuhkan statusnya sebagai ratu perseorangan wanita dunia yang sukar dicabar mana-mana pemain.