BEREGU campuran sensasi negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, kekal menjadi sandaran utama Malaysia untuk menggempur emas badminton di Sukan SEA Thailand 2025.
Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, menegaskan misi mereka hanya satu, emas atau tiada langsung!
“Sebagai juara dunia, mereka mesti buktikan dominasi. Tiada alasan, hanya emas yang kita mahu,” tegas Nova dengan nada yakin.
Namun laluan ke puncak tidak semudah disangka apabila cabaran getir menanti daripada gandingan tuan rumah Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran serta pasangan kuat Indonesia.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto optimis, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu gapai emas di Bangkok.
“Kita tahu Thailand bukan lawan mudah, tapi ini masa terbaik untuk mereka buktikan taring sebenar,” katanya lagi.
BAM tidak mahu sejarah kelam di Kemboja berulang apabila skuad pelapis gagal bawa pulang sebarang emas, sehingga badan induk badminton negara itu, menurunkan barisan terkuat termasuk Aaron Chia–Soh Wooi Yik.
Nova turut mengesahkan Tang Jie kini pulih sepenuhnya dari kecederaan bahu dan kembali berlatih pada tahap intensif.
Beliau yakin pasangan itu bakal kembali menyengat di Terbuka Australia (18–23 November) sebelum melangkah garang ke Bangkok membawa harapan negara memburu kilauan emas Sukan SEA.