PEMAIN beregu lelaki negara dijangka tampil lebih bertenaga dan menyengat di Kejohanan Dunia di Paris bulan depan, selepas mempamerkan peningkatan prestasi meyakinkan di Terbuka China.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menunjukkan karakter sebenar mereka di Changzhou, selepas aksi hambar di Jepun.

“Grafiknya memang tak bagus masa di Jepun, main pun slow dan tak ada apinya, fight-nya kurang lagi, terlalu slow ya,” katanya menyifatkan kekalahan kepada beregu senegara (Ong Yew Sin-Teo Ee Yi) di pusingan pertama Terbuka Jepun.

Namun, katanya, pada kejohanan bertaraf Super 1000 (aterbuka China) minggu lalu jauh lebih kemas apabila mereka berjaya mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas kepada pasangan Indonesia (Fajar Alfian-Sohibul Fikri).

“Menurut saya cukup baiklah, tapi mereka kalah dengan Fajar dan Fikri yang main sangat bagus kali ini, terutama di sektor depan,” ujar Herry lagi.

Beliau percaya Aaron-Wooi Yik berpotensi besar untuk mencabar kejuaraan dunia sekiranya kekal konsisten serta memperkemaskan game plan menjelang aksi di Paris nanti.