BELUM pun sempat sepak mula Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026, Kelantan Red Warriors (KRW) sudah ‘tersungkur’ awal apabila difahamkan tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu sehingga 14 Ogos depan susulan isu dokumentasi dan dakwaan kaitan dengan Kelantan FC.
Situasi itu meletakkan KRW dalam dilema besar bukan sahaja berisiko gagal menyenaraikan pemain baharu, malah berdepan kemungkinan terlepas terus aksi pembukaan liga amatur paling kompetitif negara.
Menurut laporan, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengeluarkan surat rasmi kepada KRW untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu belum selesai membabitkan entiti lama, Kelantan FC. Ini menimbulkan persoalan sama ada KRW benar-benar bebas daripada sebarang liabiliti masa lampau.
Namun, dalam kenyataan balas yang dikeluarkan semalam, pihak KRW menegaskan mereka merupakan entiti baharu yang sah ditubuhkan pada Disember 2024 dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bebanan hutang atau pentadbiran The Red Warriors terdahulu.

Insiden ini mencetuskan satu isyarat jelas kepada semua kelab di liga Malaysia untuk lebih teliti dan profesional dalam aspek pentadbiran dan perundangan, bagi mengelakkan kekeliruan atau tindakan susulan daripada badan induk antarabangsa seperti FIFA.
Apa yang berlaku kepada KRW bukan sekadar ‘drama padang’, tetapi satu amaran terbuka kepada kelab-kelab lain agar tidak memandang ringan aspek legitimasi dan liabiliti dalam penubuhan pasukan baharu. Liga belum mula, tapi sudah ada pasukan yang ‘direhatkan’.