SELEPAS kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini bersiap sedia untuk menghadapi cabaran baharu di Terbuka Arctic dan Terbuka Denmark yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Wooi Yik juga tidak lokek berkongsi tentang persiapan mereka bagi dua kejohanan penting tersebut.
Menurut Wooi Yik, dia baru sahaja pulih daripada kecederaan dan kini sudah menjalani latihan selepas berehat seketika, namun kekal fokus untuk menghadapi kedua-dua kejohanan dengan matlamat utama untuk menang.
“Pertama sekali, saya baru sahaja kembali berlatih, dan seperti biasa, matlamat kami dalam setiap kejohanan adalah untuk menang. Kami mahu mendapatkan semula keyakinan dan membawa kembali permainan terbaik kami seperti di Olimpik,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Insentif Pemain Badminton Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Pasangan beregu negara sudah terlepas beberapa kejohanan selepas Olimpik dan Wooi Yik menegaskan yang dia sudah bersedia bersama Aaron untuk terbuka Artik 2024.
Wooi Yik juga menegaskan bahawa mereka akan berusaha memberikan yang terbaik di Arctic dan Terbuka Denmark. Meskipun berdepan cabaran yang tidak mudah, fokus utama mereka adalah memberikan 100 peratus komitmen dalam latihan dan persaingan.
“Kami akan lihat bagaimana keadaan nanti, tetapi saya dan Aaron sentiasa fokus untuk memberikan yang terbaik dalam latihan serta beraksi dengan sehabis baik dalam setiap perlawanan,” tambahnya.

Pasangan Aaron-Wooi Yik dalam sidang media di MSN selepas menerima insentif dari 100PLUS.
Pasangan Aaron-Wooi Yik kini berada dalam fasa pemulihan prestasi selepas kejayaan besar mereka di Olimpik, dan kejohanan ini dilihat sebagai platform penting untuk mereka terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa.
Terbuka Arctic 2024 , yang akan berlangsung dari 8 hingga 13 Oktober di Vantaa, Finland, menawarkan hadiah wang tunai bernilai USD420,000.