LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek menyifatkan tahun 2026 sebagai peluang terbaik buat skuad lelaki negara menamatkan penantian lebih tiga dekad untuk menjulang semula Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

Menurut Rashid, skuad negara kini berada pada landasan tepat dengan barisan pemain yang bukan sahaja semakin matang dari segi permainan, tetapi turut menampilkan keseimbangan antara perseorangan dan beregu, satu ramuan penting bagi kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas.

Datuk Rashid Sidek menganggap kedudukan dua beregu lelaki di tangga teratas dunia dan prestasi semasa Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao, menjanjikan peluang buat Malaysia di Piala Thomas.

“Kalau kita nak ambil balik Piala Thomas, inilah masanya. Pasukan kita nampak lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sentuhan Wira, yang turut menyentuh kembali detik bersejarah menjulang Piala Thomas 1992.

Rashid menyebut nama Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao sebagai dua sandaran utama negara dalam perseorangan, manakala gandingan beregu negara dilihat semakin konsisten dan mampu menghadirkan mata penting apabila diperlukan pada edisi Horsens, Denmark.

“Kalau semua dapat kekalkan prestasi, peluang kita sangat cerah untuk kembali dapatkan Piala Thomas,” katanya yakin.

Bagaimanapun, Rashid mengingatkan bahawa kekuatan mental, kesepaduan pasukan dan pengurusan kecederaan akan menjadi kunci utama untuk membawa balik trofi berprestij itu ke tanah air.

“Kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas bukan soal siapa paling kuat saja, tapi siapa paling bersatu. Kalau kita betul-betul bersedia, saya yakin kita mampu ulang sejarah,” katanya.

Rashid memainkan peranan penting dalam kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada final 1992 berkata, memori kejayaan itu kekal segar dalam fikirannya hingga hari ini. “Saya boleh nampak jelas aksi (Cheah) Soon Kit-(Soo) Beng Kiang rebah ke lantai… waktu itu kami tahu, kami juara dunia.”