STATUS beregu lelaki nombor satu dunia kini menjadi sasaran Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas merangkul gelaran pertama saingan Jelajah Dunia BWF.
Kemasyhuran sebagai gandingan teratas dunia itu bagaimanapun enggan terlalu difikirkan, namun ia menjadi keutamaan dalam misi mencatat satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya.
Aaron-Wooi Yik yang ketika ini berada di kedudukan kedua dunia, mengakui peluang itu tidak lagi jauh dari genggaman.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia tahun lalu.
“Boleh cakap ia sememangnya sasaran kami kerana menjadi beregu nombor satu dunia akan menjadi satu lagi pencapaian terbaik dalam kerjaya kami… jadi, kami harap dapat merealisasikannya.
“Namun, tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkan mengenainya sebaliknya kami akan cuba untuk berikan yang terbaik dalam setiap kejohanan kami sertai,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran Jelajah Dunia pertama dengan menjuarai Terbuka Denmark 2023.
Aaron-Wooi Yik yang menamatkan penantian bagi merangkul gelaran dalam Jelajah Dunia dengan menjuarai Terbuka Denmark, bulan lalu, kini di kedudukan kedua dunia dengan 88,164 mata, hanya dipisahkan 1,827 mata di belakang pasangan nombor satu dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia menduduki ranking nombor satu dunia adalah menerusi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada tahun yang sama.
Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia berpeluang untuk memintas kedudukan Wei Keng-Wang Chang sekiranya berjaya menghasilkan keputusan positif di Masters Jepun dari 14 hingga 19 November ini dan Masters China 21 hingga 26 November.
Malah, Aaron sendiri turut berharap dapat merekodkan kejuaraan kedua apabila turun beraksi di Masters Jepun selepas menjuarai Terbuka Denmark.
“Sudah tentu kami juga mahu terus meraih lebih banyak kejuaraan, itu memang sentiasa berada dalam fikiran kami.
“Kalau sudah pernah menang, sudah tentu harap boleh menang lebih banyak lagi dan kalau belum menang pastinya mengharapkan boleh dapat kejuaraan yang pertama.

Kedudukan terkini ranking dunia BWF kategori beregu lelaki, yang dikemaskini 1 November 2023.
“Apa pun, kami tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri tetapi itu tidak bermakna kami sudah puas hati dengan apa yang kami capai. Paling penting kami akan terus berikan yang terbaik dan fokus sekarang adalah untuk melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir (di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember),” katanya.
Di Masters Jepun, Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin manakala di Master China mereka akan bertemu rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di pusingan pertama.