PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen, berdepan realiti pahit apabila kekurangan pemain di peringkat elit turut dipalit ketandusan bakat pelapis, selepas tiada seorang pun perseorangan remaja lelaki atau wanita berjaya melepasi suku akhir di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia minggi lalu.

Kegagalan di pusingan awal itu bukan sekadar meletakkan negara dalam situasi tanpa pingat, sebaliknya membongkar krisis lebih besar, tiada petanda positif dari peringkat akar umbi untuk mengisi kekosongan di pentas elit.

“Saya sebenarnya mengharapkan sesuatu yang lebih baik, tetapi saya tahu tahap kita dan siapa lawan yang akan ditemui,” kata Jonassen di ABM, mengakui hasil di Solo itu bukan kejutan kerana sedar tahap kemampuan pemainnya.

Dengan hanya menurunkan pemain yang belum cukup tajam dari segi fizikal dan taktikal, skuad remaja Malaysia seperti sekadar cukup syarat masuk gelanggang, sedangkan lawan dari negara jiran jauh lebih bersedia.

Ketika negara lain memperkenalkan bintang baharu yang sudah menunjukkan aura juara sejak peringkat bawah, Malaysia pula masih tercari-cari siapa yang layak digilap untuk menggalas cabaran masa depan.

“Saya kecewa dengan beberapa individu kerana saya tahu mereka boleh beri lebih, tapi kami akan buat penilaian menyeluruh dan cuba perbaiki aspek fizikal, taktikal serta mental,” ujar Jonassen.

Tanpa hala tuju yang lebih konkrit dan perubahan menyeluruh dari akar umbi, tidak mustahil skuad perseorangan negara akan terus ketinggalan jauh, dan misi Jonassen untuk mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei hanya akan tinggal angan.