MELIHAT dirinya menjadi mangsa keadaan selepas terpaksa berpisah dengan Muhammad Haikal Nazri, Wan Arif Wan Junaidi hanya mampu berdiam diri menyimpan kekecewaan.
Gandingan Haikal-Arif yang diberi jolokan ‘Patatimo’ itu akhirnya sah dipisahkan demi survivor gandingan yang ‘bercerai’ Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Mangsa keadaan, mungkin itulah perkataan paling sesuai untuk gandingan Patatimo ini, sebaik Nur Izzuddin menyuarakan mahu berpisah dengan Sze Fei, sehingga barisan kejurulatihan mencari formula baharu, membentuk kombinasi terbaik beregu lelaki negara.
Selepas ini, Izzuddin akan bergandingan bersama Haikal, Sze Fei bersama Choong Hon Jian manakala Wan Arif diberikan pasangan baharu Yap Roy King.

Nur Izzuddin Rumsani bergandingan dengan Muhammad Haikal Nazri di Cabaran Antarabangsa Malaysia Disember tahun lalu, kini sah secara rasmi membentuk gandingan baharu, menyaksikan Wan Arif Wan Junaidi dieksperimen bersama Yap Roy King
Wan Arif, 20, mengakui kecewa sebaik mendapat perkhabaran mengenai perkara berkenaan, Jumaat lalu namun menerimanya dengan hati yang terbuka.
Katanya, selepas perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ia sedikit sebanyak meredakan kegelisahan, termasuk ketika diberitahu dia akan bergandingan dengan Roy King.
“Perasaan saya memang sedih dan kecewa selepas dengar pengumuman berkenaan Jumaat lalu kerana perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Memang agak sedih dan saya hanya berdiam diri, cuma beritahu kepada keluarga.
“Ketika itu, saya terkilan kerana memikirkan siapakah pasangan baharu nanti. Selepas mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Rexy, ia sedikit sebanyak dapat meredakan rasa kecewa,” katanya.

Antara detik manis Wan Arif Wan Junaidi bersama Muhammad Haikal Nazri, muncul naib juara New Orleans selepas terpaksa menarik diri di final kerana positif Covid19.
Wan Arif percaya dia akan membentuk gandingan yang baik bersama Roy King, lebih-lebih lagi dia memiliki kemampuan untuk bermain di mana-mana bahagian dalam gelanggang.
“Mungkin Roy King boleh bermain di bahagian belakang dan saya akan tukar ke hadapan. Sebelum ini ketika bersama Haikal, kami bergilir-gilir ambil tanggungjawab untuk bermain di bahagian depan dan belakang,” katanya.
Wan Arif-Haikal yang diberi julukan ‘Patatimo’ kerana masing-masing berasal dari Terengganu dan Kelantan pernah merangkul tiga kejuaraan sepanjang gandingan mereka apabila menjuarai Siri Antarabangsa Terbuka Austria 2021, Siri Antarabangsa Hellas 2021 dan Siri Antarabangsa Ukraine 2021.
Mereka hampir meraih kejuaraan pertama dalam Jelajah Dunia BWF apabila melangkah ke final Masters Orleans 2022 tetapi terpaksa menarik diri selepas Haikal positif COVID-19 sekali gus sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara.