PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan tekanan kepada diri mereka dalam memastikan mengakhiri musim ini dengan kejayaan yang gemilang pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.
Mereka tidak boleh lagi menampilkan aksi longlai dan tidak konsisten, selepas tersingkir di pusingan kedua Masters China di Shenzen, semalam.
Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set kepada gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 25-27, 21-18, 17-21.
Walaupun berjaya menewaskan Ji Ting-Xiang Yu ketika Terbuka Denmark bulan lalu, Aaron mengakui lawan mereka itu beraksi lebih baik kali ini.
“Mereka (Ji Ting-Xiang Yu) bermain dengan sangat baik… kepantasan dan semuanya, mereka berjaya mengawal permainan.
“Kami tidak bermain dengan baik pada kejohanan ini. Kami akan pulang dan melakukan proses pemulihan dan buat persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan di Hangzhou,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aaron-Wooi Yik secara matematiknya sudah mengesah slot saingan Jelajah Dunia Akhir BWF apabila berada di kedudukan ranking kelima Jelajah Dunia.
Hanya lapan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu.
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga pasangan berkenaan berjaya melayakkan diri ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$2 juta (RM9.37 juta) itu.
Namun, dua penampilan mereka sebelum ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Jelajah Dunia Akhir menawarkan mata yang tinggi untuk kelayakan Olimpik Paris, dengan peserta paling awal tersingkir akan dianugerahkan 6,600 mata.