AKSI tidak menentu sepanjang musim 2025 jelas masih mengganggu fikiran perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila mengakui pencapaiannya jauh tersasar daripada sasaran yang diletakkan.
Bekas juara remaja Asia itu hanya mampu mencatat pencapaian terbaik dengan mara ke suku akhir di Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong, satu statistik yang belum cukup meyakinkan untuk menutup musim dengan senyuman.
Lebih merisaukan, Jun Hao kerap tersingkir di pusingan awal pada beberapa kejohanan utama, sekali gus mencetus persoalan peminat mengenai kemerosotan konsistensi permainannya.
Pemain berusia 26 tahun itu tidak berselindung apabila mengakui prestasinya gagal memenuhi jangkaan sendiri dan masih bergelut untuk mengekalkan tahap permainan terbaik dari satu kejohanan ke kejohanan lain.

Leong Jun Hao mahu kembali fokus tahun hadapan.
“Bagi saya, prestasi tahun ini memang ada kekurangan dan saya tidak puas hati dengan keputusan sendiri kerana pencapaian tidak seperti yang dijangka dan tidak mencapai sasaran,” katanya ketika ditemui.
Jun Hao turut mengakui aspek konsistensi dan stamina menjadi keutamaan untuk diperbaiki selepas ini meskipun menafikan faktor keletihan sebagai alasan utama.
“Saya bukan nak cakap penat beraksi dari hari ke hari, tetapi konsistensi masih kurang dan apa yang perlu diberi keutamaan selepas ini adalah stamina dalam kejohanan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Meskipun membantu Malaysia meraih perak berpasukan dan gangsa individu di Sukan SEA Thailand 2025, Jun Hao yang kini menghuni ranking ke-28 dunia bertekad memburu semula kelompok 20 terbaik dunia, satu misi yang diakui bukan mudah tetapi wajib direalisasikan.