Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kedua 2026 menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan baharu badan induk itu bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.

Pemilihan yang berlangsung hari ini menyaksikan Datuk Ab Ghani Hassan memperoleh 20 undi untuk dipilih sebagai Presiden FAM selepas menewaskan Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menerima lima undi. Jumlah keseluruhan undi yang dikira ialah 25 dengan tiada undi rosak.

Bagi jawatan Naib Presiden 1, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail memperoleh 15 undi, manakala Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar masing-masing mengumpul lima undi. Rosmadi dipilih untuk mengisi jawatan berkenaan.

Jawatan Naib Presiden 3 pula menjadi milik Datuk Saaran A/L Nadarajah selepas memperoleh 18 undi, meninggalkan Afizal bin Abu Othman dengan tujuh undi daripada keseluruhan 25 undi.

Untuk tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kategori FA, Mohd Azizudin Mohd Shariff dan Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin masing-masing mendapat 19 undi, manakala Datuk Haji Mohd Hisamudin Yahaya mengumpul 12 undi. Ketiga-tiga mereka dipilih mengisi kerusi berkenaan.

Bagi kategori FC yang menyediakan dua kerusi, Datuk Kamarudin Haji Hassan dan Datuk Syed Mahadi Syed Hassan masing-masing memperoleh 15 undi untuk dipilih sebagai Ahli Exco. Datuk Dr Sugumaran A/L Parthasarathy menerima sembilan undi, diikuti Dr Johan Kamal Hamidon dengan enam dan Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom dengan lima undi.

Persaingan bagi satu kerusi kategori profesional pula menyaksikan legenda bola sepak negara, Dato’ Zainal Abidin Hassan, memperoleh 22 undi berbanding tiga undi yang diterima Azlan bin Johar.

Sementara itu, Dato’ Suraya binti Yaacob dipilih sebagai Ahli Exco Wanita selepas mendapat 15 undi, manakala Dr Siti Faidul Maisarah binti Abdullah memperoleh 10 undi.

Keputusan tersebut melengkapkan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipilih pada Kongres Luar Biasa Kedua 2026 bagi meneruskan pentadbiran badan induk bola sepak negara untuk baki penggal 2025-2029. Struktur pemilihan FAM sememangnya merangkumi jawatan Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan Ahli Exco mengikut kategori yang ditetapkan dalam Statut FAM.