PENGENDALI pasukan Bawah 19 Wanita Kebangsaan, Cameron Ng meluahkan rasa gembira selepas pemain-pemainnya mencatatkan kemenangan ke atas Singapura 1-0 dalam aksi pertama Kejuaraan Wanita B-19 AFF di Palembang, Indonesia pada Sabtu.

Cameron juga berharap agar anak-anak buahnya dapat meneruskan corak permainan yang ditunjukkan apabila berhadapan pasukan pilihan, Vietnam pada Isnin dalam usaha mencatatkan keputusan yang baik.

Jaringan tunggal S. Thivashini pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Young Tigress dan menyingkirkan Singapura dari kejuaraan serantau itu.

“Saya gembira para pemain bermain dengan baik dan mengikut pelan yang dirancang. Kita harus akui Vietnam sebuah pasukan yang lebih kuat berbanding kita tetapi saya mahu lihat para pemain menunjukkan permainan yang sama seperti ini dan saya harap kami mampu catatkan satu keputusan yang baik,” katanya dalam temubual selepas perlawanan.

Sementara itu, kapten pasukan, Amirah Rahman gembira apabila dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan sangat bersyukur kerana berjaya membantu pasukan meraih kemenangan dan mahu kembali fokus untuk aksi bertemu Vietnam.

“Saya gembira dapat mencatat kemenangan, ditambah pula dengan anugerah pemain terbaik perlawanan yang pertama kali saya terima dalam hidup saya.

“Kami dah buat yang terbaik dan inilah hasilnya dan sasaran saya untuk perlawanan menentang Vietnam nanti adalah untuk tidak bolos banyak apabila menentang mereka,” katanya.

Penjaring gol tunggal perlawanan, S. Thivashini pula memberi kredit kepada rakan sepasukan kerana membantunya menjaringkan gol dan ianya adalah satu jaringan yang begitu istimewa kerana ia adalah jaringan pertamanya di peringkat antarabangsa.

“Saya gembira dapat bantu pasukan menang dengan menjaringkan gol pada hari ini tetapi sejujurnya saya tidak akan dapat lakukan tanpa rakan sepasukan. Ini adalah saat yang istimewa buat saya kerana ia adalah jaringan pertama saya di peringkat antarabangsa,” jelasnya.