BEREGU lelaki nombor empat negara, Wan Arif Wan Junaidi yang bergandingan dengan Yap Roy King nekad mempamerkan persembahan terpuji di Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan membuka tirainya esok (Selasa), sehingga tidak pulang berhari raya bersama keluarga di Kuala Terengganu.
Mengakui teguran jurulatih beregu, Herry Iman Pierngadi yang berasakan prestasi mereka tidak memuaskan pada aksi Seluruh England bulan lalu apabila kandas seawal pusingan pertama, Arif dan Roy King senada mahu menampilkan aksi berbeza.
Wan Arif berkata, untuk memenuhi sasaran itu, dia serta Roy King perlu meningkatkan tahap keyakinan mereka dan lebih konsisten apabila beraksi di atas gelanggang.

Wan Arif Wan Junaidi nekad mempamerkan persembahan terpuji di Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang bermula Selasa ini.
“Harap tak ada apa-apa yang berlaku di luar jangkaan sebelum BAC bermula dan saya serta Roy King juga berharap sekurang-kurangnya kami melangkah ke suku akhir serta dapat buat kejutan ke atas pemain pilihan.
“Untuk prestasi kami pula, saya rasa kami tak konsisten apabila beraksi banyak kejohanan secara berturut-turut. Harap dengan sesi latihan yang kami jalani sebelum ke BAC, ia dapat meningkatkan tahap konsisten kami.
“Kalau nak cakap mengenai undian pula, ia tak begitu memberi impak kepada kami sebab memang sudah jangka akan bertemu pemain pilihan,” katanya.
Arif berkata, selepas menjalani ibadah puasa, otot badannya sedikit kendur dan situasi itu menjadi pertimbangan untuk dia tidak meraikan hari raya, kerana mahu membina semula badan ke tahap terbaik.
Wan Arif-Roy King akan membuka tirai kempen BAC menentang pasangan Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo di pusingan pertama.
Sekiranya berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka dijangka bertemu pasangan pilihan kedua kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.
Mengikut rekod, pertemuan antara Wan Arif-Roy King menentang Wei Keng-Wang Chang di Orleans Masters awal Mac lalu menyaksikan pasangan negara tewas 14-21, 13-21 di separuh akhir.
Jika berjaya melepasi tembok besar China itu, mereka dijangka menghadapi cabaran getir di suku akhir menentang sama ada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin.