PERTARUNGAN untuk merebut gelaran Pertahanan Terbaik ABK24-25 kini memasuki fasa penentu apabila tiga nama akhir diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Isnin.

Ketiga-tiga calon ini bukan sahaja menjadi sandaran utama kelab masing-masing, malah turut membuktikan kemampuan mereka di pentas tertinggi sepanjang musim Liga Malaysia 2024-2025.

Dominic Tan pertahanan Sabah FC

Dominic Tan dari Sabah FC tampil sebagai watak utama di benteng The Rhinos, menjadi penyelamat ketika pasukannya berdepan penyerang-penyerang handal liga.

Dalam 20 penampilan liga, Dominic hanya melakukan sembilan kekasaran dan menerima dua kad kuning, sambil memenangi 11 ‘foul’ untuk pasukan serta turut menjaringkan 1 gol, bukti keberkesanannya bukan sahaja sebagai penjaga kubu, tetapi juga ancaman di hadapan gawang lawan.

Feroz Baharudin antara tonggak yang menjadi watak penting dalam padang.

Dari selatan tanah air, Feroz Baharuddin muncul sebagai prospek masa depan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain muda ini berjaya mencuri tempat dalam kesebelasan utama sejak awal musim sebelum ditimpa kecederaan di penghujung kempen.

Gandingan mantapnya bersama Jordi Amat menyaksikan pertahanan JDT terus kukuh.

Dalam 14 penampilan, Feroz hanya melakukan enam kekasaran, menerima satu kad kuning, memenangi empat ‘foul’ dan turut menyumbang satu jaringan.

Pertahanan muda sensasi Selangor FC, Harith Haiqal.

Namun, tumpuan juga terarah kepada pemain muda sensasi Selangor FC, Harith Haiqal. Muncul konsisten dalam kesebelasan utama sejak perlawanan pembukaan, Harith kini menggalas tanggungjawab sebagai benteng utama Red Giants dan Harimau Malaya.

Persembahannya yang agresif dan berdisiplin menyaksikan beliau melakukan 11 kekasaran, mengutip empat kad kuning, memenangi tujuh ‘foul’ serta meledak tiga gol dalam 17 aksi liga, angka luar biasa buat seorang pertahanan muda.

Tiga calon, tiga gaya permainan berbeza, namun matlamat sama, untuk diiktiraf sebagai ‘tembok terkuat’ Liga Malaysia.

Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pertahanan terbaik musim ini? Adakah Dominic akan mendahului senarai, atau Feroz dan Harith mampu mencuri undi dengan prestasi luar biasa mereka? Segalanya bakal terjawab pada malam kemuncak ABK24!