PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) mahu menjadikan acara sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai keutamaan di terutama aksi melibatkan skuad Harimau Malaya berbanding acara komersial seperti konsert.
Ini selepas Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat padang baharu jenis Zeon Zoysia atas kurniaan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang berkualiti dan diharap dapat memadam imej buruk tentang kualiti padang di stadium terbesar negara itu.
Perbadanan Stadium Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faidz Sanusi memberi jaminan ini ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Padang Baharu Stadium Nasional Bukit Jalil yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor.
“Keutamaan bagi PSM adalah acara sukan kerana tiga pemegang taruh utama bagi kami adalah persatuan sukan, komuniti dan akhirnya baharulah komersil. Benar komersil memberikan sedikit sebanyak pendapatan kepada PSM kerana kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan,” katanya.
Faidz juga percaya dengan proses baik pulih padang ini dan ianya sudah bersedia dan boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak dengan Harimau Malaya bakal menjadi pasukan pertama menguji padang baharu ini pada aksi Pestabola Merdeka menentang India.
“Kita perlu percaya kepada proses. Esok adalah kali pertama di mana para pemain akan mencuba padang ini jadi kita akan ambil input ini dan pihak kami juga sudah memastikan tidak akan ada air yang bertakung kerana kita sudah memperbaiki saliran padang itu,” tambahnya.
Projek kerja menaik taraf padang Stadium Nasional Bukit Jalil, struktur dan tapak semaian melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta dengan bukan sahaja pembaikan padang, malah PSM turut menambah baik trek larian kawasan luar, tandas, surau dan kawasan sekitar stadium.