Bahang kejayaan skuad sepak takraw negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal diteruskan ke pentas domestik apabila Sepak Takraw League (STL) 2026 membuka tirai dengan barisan pemain terbaik negara kembali memperkuatkan pasukan masing-masing.
Musim ke-12 STL berlangsung dari 6 Oktober 2026 hingga 10 Januari 2027 dengan penyertaan 12 pasukan yang akan bersaing dalam tujuh siri Grand Prix (GP) sepanjang musim.
Pembukaan musim menyaksikan Perak Bison, selaku juara STL Premier musim lalu, bertemu Negeri Sembilan Antlers yang hadir sebagai juara STL Champions Cup dalam Perlawanan Sumbangsih.
Kehadiran semula pemain yang baru menggalas cabaran negara di Aichi-Nagoya dijangka menambah sengit persaingan STL, lebih-lebih lagi selepas The Golden Tigers menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan lelaki di Sukan Asia.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata perkembangan STL terus menunjukkan peningkatan apabila kehadiran penonton di gelanggang meningkat 24 peratus pada musim lalu, manakala kandungan berkaitan STL merekodkan lebih 200 juta tontonan digital.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Wira Mohd Sumali Reduan pula menyifatkan musim baharu ini sebagai perkembangan penting apabila saingan divisyen buat pertama kali membuka tirai di Akademi Sepaktakraw Malaysia, selain kehadiran 24 pemain import dari Thailand, Filipina dan Jepun yang dijangka memberikan dimensi baharu kepada liga.
Pada masa sama, ShekhinahPR tampil sebagai Rakan Media Digital Rasmi STL 2026, dengan kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan capaian serta keterlihatan saingan STL di platform digital.
Dengan aksi yang berlangsung sehingga Januari tahun depan, STL 2026 dijangka menjadi antara pentas utama untuk pemain negara meneruskan momentum selepas Aichi-Nagoya, selain menjadi medan penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat baharu sepak takraw Malaysia.