SELEPAS mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan awal kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2022, para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata semakin teruja.

Ini terbukti apabila jualan tiket atas talian telah habis dijual dan ini pastinya akan memberikan gambaran bahawa Stadium Sultan Ibrahim akan kembali gegak gempita seperti sebelum fasa pandemik melanda.

Perlawanan pertama menentang Guangzhou FC dihadiri 14,545 penyokong manakala perlawanan dengan Ulsan Hyundai menyaksikan jumlah kehadiran penyokong seramai 11,410.

Mengambil kira faktor bulan Ramadan dan sepak mula yang lewat, angka kehadiran penyokong JDT ini dianggap sangat hebat dan ianya jelas menaikkan semangat para pemain untuk beraksi lebih cemerlang demi para penyokong.

Ngauman Harimau Selatan yang diketuai oleh Boys of Straits pastinya akan mendatangkan resah kepada pasukan pelawat dan ia jelas merisaukan pengendali Kawasaki Frontale yang secara terang mengakuinya dalam sidang media.

Foto: JDT

Diakui bukan mudah untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan JDT mempunyai rekod yang cukup baik disini sejak 2020 dengan hanya seri dan tewas sekali sahaja manakala lawan yang lain pulang hampa dan ada yang menjadi pasukan belasahan.

Rekod musim 2022 ini pula menyaksikan JDT sudah memenangi kesemua lapan perlawanan di sini dalam empat pertandingan berbeza dan menjaringkan 32 gol dengan hanya bolos dua kali.

JDT berjaya menewaskan Guangzhou FC 5-0 dan Ulsan Hyundai 2-1 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan I dan bakal berdepan cabaran Kawasaki Frontale dengan pemain ke-12 bersedia mendukung mereka sepanjang 90 minit permainan.