KELAB Liga Pro Arab Saudi, Al Nassr yang dalam rangka menghadapi dua perlawanan persahabatan di Shenzen, China terpaksa menunda kedua-dua aksi itu selepas ayam tambatan, Cristiano Ronaldo dilanda kecederaan ketika latihan.

Perkara ini nyata menimbulkan tanda tanya kepada para penyokong Al Nassr dan peminat Cristiano Ronaldo di Shenzen yang menyerbu hotel penginapan pasukan bagi mendapatkan pengesahan mengenainya.

Kelab akhirnya mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial rasmi yang mengesahkan penangguhan perlawanan ini dan meminta maaf kepada semua penyokong atas perkara yang tidak dapat dielakkan oleh kelab.

“Dukacita dimaklumkan, malangnya atas sebab-sebab yang diluar kawalan Al Nassr, acara melibatkan dua perlawanan yang dijadualkan pada 24 dan 28 Januari telah ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Kami datang ke Shenzen dengan rasa penuh hormat kepada penyokong bola sepak China dan terutamanya kepada peminat Ronaldo. Setelah mengambil semua pertimbangan dan ekoran hubungan baik antara Arab Saudi dan China, Al Nassr bersetuju untuk melengkapkan kem latihan seperti yang dirancang di Shenzen, bandar yang telah menyambut kami dengan mesra dan menunjukkan rasa cinta kepada pasukan dan juga kapten kami.

“Kelab juga telah bersetuju dengan penganjur dan promoter untuk menetapkan semula tarikh perlawanan ini secepat mungkin.

“Al Nassr sentiasa dan telah membuktikan komitmen terhadap acara ini dan telah hadir dengan skuad terbaik termasuk Cristiano Ronaldo untuk menyertai jelajah ini. Kami sayang penyokong kami di China dan tidak sabar untuk beraksi di hadapan mereka secepat yang mungkin,” tulis kenyataan itu.

Al Nassr dijadualkan bertemu dua kelab China, Shanghai Shenhua dan Zhejiang FC dengan 60,000 tiket dikhabarkan sudah habis dijual untuk kedua-dua perlawanan.