PENGENDALI BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong enggan mengalah dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali kedua walaupun mereka pernah tumpas 2-4 di laman sendiri pada 3 Oktober lepas.

Skuad BG Pathum yang merupakan salah satu antara lima pasukan terbaik di Liga 1 Thailand kini berada di kedudukan tercorot dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) kerana gagal mengutip sebarang mata dalam kesemua lima perlawanan sebelum ini.

Surachai bagaimanapun menegaskan bahawa pasukan mereka akan menampilkan satu aksi yang terbaik dalam perlawanan penting pada 12 Disember esok dan setidaknya dapat mengutip tiga mata penuh di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih tersebut telah menyebut tiga nama pemain sensasi JDT yang menjadi ancaman buat pasukannya iaitu Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan juga pemain jersi 42, Arif Aiman Hanapi.

“Bagi saya, mereka adalah kunci utama kemenangan JDT dan jika mereka kekurangan pemain hebat seperti tiga orang ini, mungkin prestasi JDT yang cemerlang ini akan terus menurun sehingga ke 40 peratus.

“Walau apapun, perlawanan esok sangat penting untuk kita membawa pulang tiga mata penuh walaupun kita semua tahu kita tiada sebarang mata sepanjang pertarungan ini berlangsung.

“Bertemu JDT esok akan menjamin satu perlawanan sengit dan ini perlawanan Asia dimana kita akan gunakan pemain sebaik mungkin dalam menghasilkan corak pemainan yang cantik esok.

“Tiada apa yang mustahil dan semua boleh jadi dalam perlawanan esok,” ujarnya dalam sesi sidang media pra-perlawanan ACL 2023.