KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bertindak pantas apabila menghantar pasukan pemantau khas ke Songkhla susulan banjir besar yang mengancam venue utama Sukan SEA Thailand 2025.

Langkah proaktif itu diambil selepas laporan awal mendapati beberapa fasiliti sukan, termasuk venue bola sepak, terjejas dan berisiko dipindahkan sekiranya paras air terus meningkat.

Menurut laporan berita The Nation (Thailand), Stadium Tinsulanonda di Songkhla yang menjadi venue bola sepak lelaki kumpulan B melibatkan Malaysia, Vietnam dan Laos terjejas banjir dan berkemungkinan dipindah ke Bangkok.

Situasi banjir di Songkhla menjejaskan venue Sukan SEA termasuk Stadium Tinsulanonda yang menjadi gelanggang kumpulan B, melibatkan Malaysia, Vietnam dan Laos. |FOTO SEASIAGOAL

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, keselamatan atlet dan pegawai Malaysia menjadi faktor paling utama ketika situasi bencana di negara jiran itu masih belum pulih sepenuhnya.

“Kami mahu maklumat tepat dari lapangan, sebab itu MSN menghantar pasukan pemantau untuk menilai keadaan sebenar di Songkhla,” katanya, pada sidang media Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia dan Menara KBS.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Malaysia tidak akan menekan Thailand dalam waktu genting ini namun pihaknya akan merangka pelan logistik alternatif, terutama jika venue bola sepak terpaksa dipindahkan pada saat akhir.

Beliau turut mengesahkan Kementerian Luar Negeri (KLN) sudah dihubungi bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di selatan Thailand sentiasa berada dalam pemantauan berterusan.

Perlawanan bola sepak akan bermula 4 Disember ini, dan kontinjen negara dijangka melakukan persiapan mengikut dua senario, iaitu kekal di Songkhla atau berpindah ke venue baharu bergantung kepada laporan dari pasukan pemantau.

“Kami mahu persiapan atlet berjalan lancar dan berharap situasi banjir tidak mengganggu fokus mereka,” kata Hannah sambil memberi jaminan bahawa KBS akan terus mengemas kini perkembangan terkini dari Thailand.