PENGENDALI Urawa Red Diamonds, Maciej Skorza mendedahkan bahawa kerja keras dan dedikasi adalah sebab utama pasukannya muncul juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 selepas menewaskan Al Hilal pada aksi final kedua di Stadium Saitama pada Sabtu.

Gol sendiri daripada Andre Carrillo pada separuh masa kedua cukup untuk memberikan kemenangan aggregat 2-1 buat Urawa sekaligus muncul kelab Jepun pertama menjuarai ACL buat kali ketiga.

Ini adalah perlawanan akhir ACL pertama pengendali Poland itu selepas mengambil alih dari Ricardo Rodriguez pada November 2022 dan dia mengakui perjalanan untuk muncul juara ini memerlukan kerja keras dan perancangan yang teliti.

“Sudah tentu sejak dari permulaan saya tahu Urawa adalah pasukan yang besar dengan pemain yang hebat dan berpotensi. Saya juga sedar ada satu pentas besar menanti kami di final dan sejak dari awal, saya sememangnya menyediakan pasukan untuk perlawanan akhir ini.

“Banyak pihak yang terlibat dalam persediaan perlawanan ini termasuk analitik pasukan yang secara berhati-hati merencanakan taktik yang diperlukan apabila bermain dengan pasukan seperti Al Hilal.

“Kami juga sedar jika kami meninggalkan ruang yang besar, ianya akan mengundang mereka untuk menjaringkan gol dan atas sebab itu kami perlu lebih waspada. Kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik pada final pertama jadi kami tidak perlu mengambil risiko yang terlalu besar kerana tujuan utama kami adalah untuk memenangi trofi,” katanya selepas perlawanan.

Ketika tiba di Stadium Saitama 2002, pemain Urawa menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi dari para penyokong dan Skorza menyatakan rasa kagumnya dan ini adalah bukti pasukan lebih bertenaga dengan kehadiran penyokong yang fanatik.

“Mendapat sokongan daripada penyokong Urawa adalah satu pengalaman yang unik dan menakjubkan bagi saya. Sebelum sampai ke stadium, kami sudah dapat melihat penyokong menyokong dengan sepenuh hati. Saya dapat rasakan tenaga tambahan dan ini adalah sangat istimewa.

“Perlawanan ini sangat sukar tetapi dengan sokongan penyokong yang berterusan, kami merasakan seolah-olah kami bermain dengan kelebihan seorang pemain di dalam padang,” tambahnya.